Lebih Ketangkasan, Lebih Kepuasan

Petaling Jaya, 20 Februari 2020 – Aplikasi permainan mudah alih Mak Cun’s Adventure telah mencatat lebih 1.6 juta muat turun sejak mula dilancarkan sehingga ke hari ini.

Bermula dengan drama siri kegemaran ramai, Mak Cun, Media Prima Digital menerusi Media Prima Labs telah membangunkan aplikasi permainan digital Mak Cun’s Adventure yang dilancarkan sejak Mei 2018 lalu.

Mak Cun’s Adventure telah mencipta rekodnya yang tersendiri selepas berjaya meraih 100,000 muat turun hanya selepas 10 hari dilancarkan walau sasaran pada awalnya dijangka dapat dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Permainan ala ‘Diner Dash’ versi lokal yang mengajak pemain membantu Mak Cun untuk menyediakan makanan di warung dengan sentuhan makanan tempatan seperti nasi lemak dan kuetiau goreng basah serta melayan para pelanggan yang sedang membeli-belah di butik Mak Cun semakin digemari sehingga mencatat lebih 250,000 muat turun hanya dalam tempoh dua bulan selepas dilancarkan.

Kini, selepas hampir dua tahun dilancarkan, Mak Cun’s Adventure telah mencatat lebih 1.6 juta jumlah muat turun dan mempunyai lebih 205,000 pengguna aktif bulanan selain 12 minit waktu purata permainan bagi setiap pemain.

“Kami berasa cukup berbangga dengan pencapaian Mak Cun’s Adventure dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengguna yang telah memuat turun dan mencuba permainan interaktif ini. Harapan kami semestinya supaya dapat mengajak ramai lagi untuk turut merasa keseronokan bermain Mak Cun’s Adventure”, kata Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Digital.

Selain itu, Melissa Woo selaku pengurus produk Mak Cun’s Adventure turut menambah, “Sejak dari mula Mak Cun’s Adventure diperkenalkan, kami telah menambah baik kualiti aplikasi dari semasa ke semasa dan telah memperkenalkan pelbagai tahap baru untuk memberikan lebih cabaran dan kepuasan. Teruskan menyokong produk-produk keluaran kami”.

Bagi anda yang masih belum lagi mencuba dan ingin menguji kepantasan serta ketangkasan anda menyusun strategi, anda boleh memuat turun aplikasi permainan mudah alih Mak Cun’s Adventure ini secara percuma di Google Play Store dan juga Apple App Store.

-TAMAT-

Muhammad Faisal (Petch)

Executive, Communications, Media Prima Digital

[email protected]

Mengenai Media Prima Labs

Media Prima Digital menerajui inovasi, pemasaran digital dan teknologi dalam Media Prima Group, syarikat media bersepadu yang terkemuka di Malaysia. Ia memahami seni dan sains untuk mewujudkan ikatan yang kekal antara pengguna dan jenama dari perspektif digital dan berusaha untuk menawarkan penyelesaian digital secara holistik yang merangkumi pemasaran prestasi, pembangunan aplikasi mudah alih, analisis data, mendengar media sosial dan banyak lagi dari perspektif 360 darjah. Harta intelek kumpulan dan platform media yang pelbagai juga membolehkan akses jenama kepada penonton massa secara unik dan komprehensif secara digital.

Share on